Thursday, April 14, 2011

Kebaikan Yang Dibayar Dengan Kesihatan

Dah lama tak tulis kat blog ni...dah sebulan. Selama sebulan ni,hidup aku dah bertambah baik, Alhamdulillah. Aku dapat luangkan lebih banyak masa untuk membaca kitab-kitab aku yang banyak. Semoga kebaikan ini akan bertambah dan berterusan.
Aku bimbang juga kesihatan aku. Dah lapan hari aku selsema,hidung sumbat. Sejak dua hari lepas, aku dah mula batuk-batuk. Pagi ni pulak, masa bangun tidur, suara aku dah jadi macam suara robot. Oh, agak menakutkan~
Tak mengapalah, sakit ni semua adalah penebus dosa-dosa yang aku dah buat. -Sesungguhnya bersama kepayahan itu terdapat kemudahan- Yang penting, sakit aku tak ganggu ibadat aku dan juga tak susahkan sesiapa. Kerana apa yang aku mahukan cumalah dapat belajar dengan tenang, dapat hasilkan ilmu yang bermanfaat untuk semua, terutamanya untuk diri aku sendiri. Tak mengapa juga kalau Kak Nurul masih nak berkeras dengan aku. Sekurang-kurangnya aku dah berusaha dengan baik, usaha yang sangat hebat sampaikan aku sendiri pun rasa teringin nak puji usaha aku. Walau bagaimanapun, untuk urusan akhirat aku, aku akan berusaha lebih gigih lagi. Urusan akhirat yang belum pasti baik buruknya... Semoga Allah S.W.T. terima niat, amal dan segala usaha aku yang tak seberapa ini.

Friday, March 11, 2011

Jangan Hanya Bermimpi Tanpa Berusaha

Hari cuti dihabiskan dengan duduk-duduk dan tidur saja. Kepala sangat kosong. Langsung tak ada rasa bersalah kerana tak baca kitab ataupun apa-apa buku. Oh,apa dah jadi dengan aku?!
Sesuatu 'pencapaian' hanya boleh didapati dengan bermulanya 'usaha'. Tanpa sesuatu, kita tidak akan memiliki sesuatu yang lain. Kerana untuk mendapatkan sesuatu, sesuatu dengan nilai yang sama mesti dikorbankan. Oleh itu, untuk mencapai sesuatu yang tinggi dan hebat, Diri dan Masa mestilah dikorbankan untuk berusaha. Jika tidak, diri akan rosak dan masa akan tersia-sia. Ini kerana,ladang yang tak diusahakan akan menumbuhkan lalang, pokok berduri dan juga buah beracun. Segala yang kita mahukan kita akan dapatkannya dengan MEMULAKAN USAHA!!! Dan masa yang terbaik untuk mulakan sesuatu adalah sekarang. Tak perlu cari masa kerana masa itu sentiasa ada.
Baiklah, kalau begitu aku akan mulakan usaha aku malam ini juga! Sekarang tidur dulu...zZzz... (Hah?!)
..........Dan di dalam tidur, aku bermimpi Kak Nurul hantar email kepada aku. Seronok sangat! Dia minta maaf dan ceritakan masalah dia kenapa dia tinggalkan aku. Dia juga tanyakan khabar aku...doakan untuk aku... terharu sangat. Tak pernah pun aku bermimpi seperti ini.. (mimpi yang sangat indah).

Sunday, March 6, 2011

Peperiksaan & Ujian

Natijah untuk imtihan penggal pertama yang baru berlalu dua minggu lepas dah keluar petang ni. Tamat je kelas petang, masing-masing berebut untuk tengok di papan kenyataan. Cuma tinggal aku je yang tak bersemangat nak tengok. Walaupun aku lulus kesemua subjek (alhamdulillah), tapi keputusan peperiksaan aku memang teruk. Amat teruk. Dan ini memang aku dah dapat jangka awal-awal lagi. Sebelum imtihan lagi aku dah tak bersemangat, aku teringatkan rumah...masalah keluarga aku... Aku juga rindukan anak-anak buah aku...sepupu-sepapat aku...rindukan Kak Nurul...
Ikutkan hati,nak je aku lari dari semua masalah ni. Lupakan semua masalah dan hidup dalam dunia sendiri macam ahli sufi. Paling kurang, dapat jadi macam Ibrahim Bin Adham pun dah O.K dah (berangan-angan). Tapi tak patut untuk aku buat macam tu. Mana boleh aku lari dari ujian tanpa berusaha apa-apa, sedangkan rahmat Allah itu amat luas. Dan tiada yang akan berputus asa dari rahmat Allah kecuali orang-orang yang kufur.
Cumanya, aku tak tau bagaimana caranya untuk selesaikan masalah besar yang melanda keluarga aku ni. Kalaulah Kak Nurul aku ada lagi, mesti dia dah tolong aku. Aku kan adik kesayangan dia,heheh.. Tapi itu kan dulu..dah 5 tahun dia menghilang tanpa berita dan dalam tempoh itu setiap hari aku akan rindukan dia (T_T) Setahun ada 365 hari,darab dengan 5 tahun ada lebih 1825 hari, dan tak ada satu hari pun yang berlalu melainkan aku akan teringatkan Kak Nurul aku...

Entah bila perkara ni akan tamat. Sebab itulah aku berharap dapat bertemu dengan pasangan aku secepat mungkin, pasti dengan cara ni dapat bantu aku. Tapi bila aku ceritakan kepada kawan aku pasal ini, kawan aku pula cakap aku ni dah gatal nak kahwin. Haisyhh..dah tentulah aku tak akan kahwin sebelum tamat belajar. Tapi macam la kawan aku tu tahu masalah hati aku. Walaubagaimana pun, kalau aku ceritakan kepada orang tentang ni, pasti aku diketawakan.
Jadi, apa yang pasti, disamping ujian yang datang melanda, aku tetap perlu teruskan juga perjuangan aku yang belum selesai ini. Jika usiaku dipanjangkan Allah, bermakna aku cuma perlu bertahan selama 2 tahun setengah saja lagi. Tapi jika sebaliknya, aku cuma berharap dapat jumpa Kak Nurul aku sebelum aku pergi. Aku benar-benar rindukan dia...

Friday, February 25, 2011

Semalam Dan Hari Ini

18 Feb,2011. Jumaat.
Pagi ni aku terlewat bangun,itupun mak yang kejutkan. Lepas solat,aku takde kerja nak buat sampai waktu sarapan. Mak buat kueteow goreng.best..ada ramai udang dlm tu..hahaha...! Jam 9 kami ramai-ramai pergi pasar,kemudian pergi beli kek (",) sempena ulangtahun kelahiran aku yg ke-25. Sebelum jumaat pakat-pakat makan kek. Lepas solat jumaat lak,makan nasi laa.. Mak masak ketam! Hoyo~ Feveret aku (dan Nurul juga). Walaupun aku cuma anak angkat dalam keluarga ni, tapi aku tak pernah terasa pun macam tu. Mak dan abah baik sangat dengan aku,begitu juga adik beradik yang lain. Benar-benar terasa macam keluarga sendiri.
Seronok sangat bila datang sini. Sebab tu la aku tak sabar-sabar nak balik ke rumah keluarga angkat aku ni. Semalam,habis je exam aku terus siap-siap untuk datang. Bila sampai je,hilang semua serabut yang berserabut dalam kepala (tersenyum sorang-sorang).
Tapi itu cerita minggu lepas... Lepas je daripada tu,kami kembali belajar seperti biasa. Tak ada cuti, tak ada rehlah, langsung tak ada apa-apa program. Dan ustaz seperti biasa akan pujuk kami dengan ayat dari Surah As-Syarh:
(فإذا فرغت فانصب¤)
Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain). [QS 94:7]
Aku kira ada lagi 19 minggu untuk belajar,dan kemudian kami akan lalui peperiksaan akhir tahun pula. Kata ustaz, tinggal lagi 4 bulan sebelum kami naik ke tahun 7... Heheh...tak sangka aku mampu pergi sejauh ni.
Ya Allah..besarnya nikmatMu untuk diriku.
Esok sabtu,giliran kawan aku pula untuk test...mudah-mudahan Allah Ta'ala mudahkan segala urusan dia..dan segala urusan aku juga =)

Tuesday, February 1, 2011

Hari-Hari Menjelang Imtihan

الحمد لله...
Minggu ini berjalan dengan baik. Aku dapat ulang kitab 'al-Mahalli' jilid 1 mengikut jadual yang dirancang. Terima kasih buat 'kawan baik' aku yang buat aku terdorong untuk gigih berusaha. Walaubagaimanapun, masih banyak lagi yang belum selesai... Kitab 'Misykat' dengan 'Muqaddimah'nya yang susah nak ingat, cerita zakat dalam 'al-mahalli' jilid 2 yang susah aku nak faham, 'Lathoiful Isyaraat' dengan perbahasan usul-fiqhnya yang aku langsung belum faham... Pelajaran yang aku tak dapat kuasai memang memeningkan, lebih-lebih lagi bila tiba imtihan.. Memikirkan tentang ini buat aku hilang selera makan. (Aisyhhh...)
Dan sekarang aku cuma nak hafal dan ingat semua tentang faraid, dan baca semua kitab-kitab lain yang mudah bagi aku. InsyaAllah, semuanya akan baik...asalkan ada doa dan usaha, insyaAllah...
Tinggal beberapa hari saja lagi sebelum 10 februari...tak sabarnyee =P

Thursday, January 27, 2011

Tak Banyak Lagi Masa

Hari-hari yang berlalu dalam minggu ini tak banyak berubah berbanding minggu-minggu yang lepas. Aku masih mengharapkan perubahan yang lebih ketara,demi mencapai matlamat aku dalam imtihan kali ini. Tapi aku masih lagi banyak tidur. Banyak berfikir buatkan badan aku terasa amat letih dan ingin tidur. Dan serarang aku tak mempunyai pilihan lain lagi,untuk minggu akan datang,aku akan lebih berusaha!

Wednesday, January 19, 2011

Hari-Hari Yang Biasa...

Tiada apa yang menarik pada hari ini. Saya ke kelas sepertimana biasa.. Saya belajar seperti biasa.. Cuma petang ini di habiskan dengan membaca koleksi 'Midori no Hibi' (Hari-Hari Midori), satu-satunya koleksi komik kepunyaan saya. Komik yang sudah berulang-ulang kali dibaca, tapi tetap akan melaui perasaan yang sama seperti ketika pertama kali membacanya.
Oh! Teringatkan pakaian saya yang dah melebihi sebaldi,tapi belum dibasuh. Beredar~

Monday, January 17, 2011

Kesusahan & Harapan (3)

Kisah ini telah menjadi pendorong untuk saya berusaha dengan lebih gigih lagi. Sekiranya rezeki saya di dunia ini masih lagi banyak,insyaAllah saya akan tamatkan pengajian di sini. Kemudian akan berkahwin, selepas itu akan tunaikan haji dan umrah di Mekah, menziarahi maqam Nabi S.A.W. di Madinah. Kemudian saya berdoa semoga Allah luaskan rezeki saya sehingga ke luar negara, agar saya dapat berkhidmat kepada saudara-saudara di sana. Saya sangat ingin untuk ke Rusia, hati saya benar-benar tertarik dengan Rusia. Tapi bila melihat keadaan diri saya yang di negara sendiri pun tidak menentu, bagaimana untuk saya tinggal di negara orang. Saya ada banyak dosa, sifat-sifat mazmumah juga masih lagi banyak yang belum diperbetulkan. Mudah-mudahan Allah terima taubat saya, ubah akhlak buruk saya kepada baik, dan terima saya untuk dijadikan sebagai khadim kepada agamaNya yang mulia.
Di zaman sekarang, walaupun tidak ramai, tetapi jika diselidiki dengan betul-betul, kita pasti akan menjumpai juga para ulama' yang benar-benar memiliki sifat-sifat dan keperibadian mirip seperti Baginda Rasulullah S.A.W.. Mereka berjuang bersungguh-sungguh bagi mempertahankan Sunnah Nabi kita yang mulia. Dengan sebab ketinggian ilmu mereka dan kekayaan jiwa mereka, maka barulah Allah Ta'ala memilih mereka untuk menjadi pemimpin bagi ummat. Kata-kata mereka akan sentiasa didengar, nasihat-nasihat mereka akan sentiasa diikuti, perintah-perintah mereka akan sentiasa ditaati. Suatu masa nanti generasi ini akan tamat dan akan bangun pula generasi baru menyambung perjuangan mereka. Mudah-mudahan saya juga akan tergolong di kalangan ulama' yang akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keredhaanNya dan mengecapi nikmat syurgaNya. Amin...

Kesusahan & Harapan (2)

Cerita 'Al-Kimiyaa' yang ingin disampaikan di sini pula adalah kisah beberapa orang adik beradik yang berbual-bual di waktu malam. Kebanyakan perbualan mereka adalah berkisarkan Alkimia. Salah seorang budak yang bernama Ismail berkata, "Aku mendengar,seorang yang pakar mampu menukarkan tanah kepada emas,kemudian menjadikannya kepingan-kepingan syiling dan wang emas."
Seorang lagi yang bernama Mahmud pula membenarkannya dengan berkata, "Betul tu,kerana itu memanglah satu kemahiran yang diketahui manusia. Tapi pakar-pakar dalam bidang ni telah pun berlalu."
Budak-budak itu pun merasa sedih dan sangat kecewa. Mereka berkata, "Kalaulah kita dapat berjumpa dengan seseorang yang mengetahui bidang ini,pasti saja kita akan belajar daripadanya,dan kita akan menjadi kaya tanpa perlu bersusah payah dan merasa penat."
Bapa mereka yang berada berhampiran mendengar perbualan mereka, lalu berkatalah si bapa, "Janganlah kamu semua bersedih wahai anak-anakku, kerana ayah memang mengetahui tentang alkimia. Esok ayah akan mengajarkannya kepada kamu dan menceritakan tentang penghasilan alkimia."
Maka budak-budak itu pun merasa sangat gembira,mereka saling berpandangan. Pada malam itu,mereka merasa berat untuk menunggu hingga ke pagi, dan mereka merasakan malam itu adalah sangat panjang. Tetapi bapa mereka telah berpesan kepada mereka, "Tidak boleh belajar alkimia melainkan waktu siang, kerana ianya satu kemahiran yang rumit."
Akhirnya mereka pun tidur untuk bangun di awal pagi.
Di dalam tidur, Ismail dan Mahmud sentiasa melihat alkimia di dalam mimpi. Hasyim juga melihat bahawa dia berada di dalam sebuah istana yang megah,dan dengan pakaian-pakaian yang hebat. Dia telah membina istananya dan membuat pakaian dengan harta yang terhasil melalui alkimia.
Setelah solat subuh,mereka pun duduk mengelilingi bapa mereka, melihat dia membaca al-Quran. Setelah bapa mereka menyelesaikan bacaannya, dia pun bangun seraya berkata, "Kemarilah wahai anak-anakku."
Lalu mereka pun keluar bersama-sama. Keinginan mereka yang teramat sangat terhadap alkimia menyebabkan mereka tidak ingat untuk bersarapan.
Bapa mereka terus berjalan bersama-sama mereka melalui satu jalan ke satu jalan yang lain sehinggalah mereka tiba di sebuah kebun yang sedang dibajak oleh seorang petani. Pada tangan petani itu terdapat sebatang cangkul. Berkatalah si bapa, "Alkimia itu wahai anak-anakku,berada di bawah mata cangkul itu."
Telah merasa hairanlah budak-budak itu,lalu mereka pun meminta penjelasan daripada bapa mereka. Si bapa pun menjawab, "Bukankah kamu telah mendengar ada orang mengatakan yang alkimia itu boleh mengubah tanah kepada emas? Jadi,bukankah tanah ini akan berubah menjadi emas selepas beberapa hari, bahkan lebih bernilai daripada emas. Apakah nilainya emas apabila tiada apa-apa makanan untuk dimakan manusia. Oleh itu,dengan benih-benih ini yang ditaburkan petani,dan dia bersusah payah untuknya dalam beberapa hari,akan mendatangkan hasil yang besar,dan ALLAH akan mengembalikan kepadanya melalui pekerjaan ini berlipat kali ganda daripada apa yang ia telah belanjakan.
Kemudian bapa mereka telah membawa mereka ke sebuah kilang. Para pekerja di dalamnya benar-benar menumpukan perhatian keatas kerja mereka. Peluh membasahi dahi-dahi mereka. Para pekerja itu sedang membuat barang-barang yang memberi faedah dan juga membuahkan hasil yang banyak kepada mereka. Dan dalam masa yang sama,orang ramai juga akan mendapat kebaikan yang besar daripada barang-barang itu. Kemudian berkatalah si bapa, "Alkimia itu wahai anak-anakku,adalah peluh di dahi,dan usaha yang bersungguh-sungguh."
Kemudian mereka beredar menuju ke tempat orang belajar ilmu pula,dan mereka pun duduk di dalam satu majlis tazkirah. Setelah itu,si bapa berkata, "Wahai anak-anakku, manusia adalah yang paling bernilai di dalam setiap kewujudan. Mendidiknya dan membimbingnya adalah lebih utama daripada menukarkan tanah kepada emas. Apabila kanak-kanak belajar,dan orang ramai mendapat petunjuk, maka bagi para pengajar itu satu amal jariah, mereka akan mendapat pahala bagi setiap apa yang diamalkan oleh orang ramai dari amalan kebaikan dan kebajikan. Kerana itulah Nabi S.A.W. telah bersabda: (Wahai Ali, bilamana Allah Ta'ala memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab kamu, itu adalah lebih baik bagimu daripada unta-unta merah.)
Kanak-kanak itu pun merasa puas dan mereka berterima kasih kepada bapa mereka, kemudian mereka pun pulang. Mereka benar-benar telah mempelajari 'Alkimia'.

Kesusahan & Harapan (1)

Tinggal lagi 2 tahun setengah untuk tamat belajar di sini. Harapan saya ialah semoga dapat tamatkan pengajian ini dengan sempurna. Kalau difikirkan, memang agak susah utk itu, tapi saya tetap akan berusaha dengan bersungguh-sungguh. Saya ada harapan, ibu bapa saya juga ada harapan yang tinggi untuk melihat saya berjaya. Begitu juga dengan orang lain yang saya rapat dengan mereka, semuanya terlalu mengharapkan kejayaan saya.
Saya agak susah kebelakangan ini. Banyak masa saya telah dihabiskan dengan sia-sia. Saya tak berapa suka dan memang tak suka pun, tapi itulah yang telah saya buat. Sangat sedih apabila melihat keputusan peperiksaan tahun lepas, lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya, tapi sehingga sekarang saya masih belum berbuat sesuatu. Saya masih lagi malas untuk membaca, menulis dan mengulang kembali pelajaran.
"Siapa yang bercita-cita mencapai ketinggian tanpa berusaha, pasti ia telah sia-siakan kehidupannya dalam mencari perkara mustahil"
Apabila melihat keadaan ini, saya dapat mengagak yang saya tak akan berjaya jika masih lagi berterusan malas seperti ini, malahan,saya akan gagal buat selama-lamanya. Kerana jika ingin dibandingkan dengan mereka yang benar-benar berusaha untuk ilmu, diri saya sangatlah teruk. Syeikhul-hadis,Hadzrat Maulana Zakariyya (semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh beliau) dikatakan semasa hayatnya,beliau telah berhenti makan malam, dan telah sekian lama beliau hanya makan tengahari sahaja. Beliau pernah bercerita bahawa ada seorang kakaknya yang sangat penyayang,apabila beliau menelaah kitab-kitab di waktu malam,kakaknya itu akan menyuapkan makanan ke mulutnya,dengan itu pembacaannya tidak akan terjejas. Namun setelah kakaknya itu meninggal dunia,tidak ada lagi orang yang akan melayani beliau sebegitu manja,dan beliau tidak suka pula pembacaannya terjejas. Kerana itu,beliau pun meninggal makan malam.
"و جاهدوا في الله حق جهاده"
Untuk tahun ini,bacaan al-Quran saya belum lagi khatam. Rasa berasalah sangat. Kalau saya benar-benar ingat al-Quran yang saya hafal,mudah untuk saya baca 3juz' setiap hari yang cuma mengambil masa 1jam. Walau bagaimana pun,saya tetap berusaha untuk lancarkan al-Quran saya sehingga mampu khatamkan 30juz' al-Quran didalam solat. Begitu juga dengan bahasa arab,walaupun dah belajar,tapi masih belum pandai bercakap arab. Oleh itu,saya juga berazam agar dapat menguasai bahasa tersebut dalam masa terdekat. إن شاء الله...
"Produk yang dihasilkan di sesebuah kilang perlu melalui beberapa peringkat pemprosesan. Jika ia tertinggal salah satu proses,maka produk itu mungkin tidak dapat digunakan,bahkan akan dihapuskan. Begitulah juga halnya pelajar yang datang belajar di madrasah. Jika dia tak lalui proses pembelajaran dengan disiplin yang betul,dia akan keluar dari madrasah dalam keadaan rosak dan tak akan dapat dibaiki lagi. Pelajar agama,walaupun zahirnya dia dihantar untuk belajar di madrasah oleh ibu bapa,namun hakikatnya pelajar agama adalah amanah daripada ummat. Rosaknya seorang pelajar agama adalah merupakan satu kerugian yang amat besar bagi ummat." Inilah sebahagian daripada apa yang pernah disampaikan oleh ustaz saya untuk saya kongsikan disini. Dan nasihat ini amat berkait rapat dengan apa yang akan saya ceritakan nanti. Di madrasah ini terdapat beberapa pelajar yg meminati komik. Suatu masa dulu,saya juga salah seorang dari mereka. Pada masa itu,saya meminati komik 'Fullmetal Alchemist'. Kartunnya yang comel,ceritanya yang best...saya betul-betul suka. Mengisahkan tentang segolongan manusia yang mengkaji ilmu alkimia untuk kegunaan manusia,ataupun lebih tepat lagi,untuk peperangan. Mereka berkebolehan untuk menghasilkan sesuatu mengikut kemahiran masing-masing. Ada yang mampu hasilkan api, ada pula yang dapat hasilkan besi dan sebagainya.Bahkan ada juga yang gunakan ilmu itu bagi tujuan perubatan. Melihatkan mereka yang sangat hebat, saya juga berharap supaya dapat mengkaji alkimia, lalu membuat transmutasi untuk menghasilkan benda-benda. Saya selalu berangan-angan dengan meniru gaya watak komik...sehinggalah pada suatu hari,ustaz membacakan kepada kami sebuah kisah yang bertajuk 'Al-Kimiyaa',sebuah kisah berbahasa arab yang dikarang oleh seorang ulama terkenal,Ash-Syeikh Abul-Hasan 'Ali An-Nadwi. Ustaz kami menjelaskan,ilmu alkimia ialah antara ilmu yang telah pupus sepertimana ilmu falak. Pada ketika dahulu, Hercules yang digambarkan sebagai pahlawan Greece itu benar-benar menguasai ilmu falak. Hanya dengan milihat bintang di langit,dia dapat mengetahui tentang kelahiran Nabi S.A.W.. Qarun pula memiliki ilmu alkimia yang membolehkannya mengubah benda-benda kepada emas, sehinggakan istana, perhiasan, perabot dan segala harta bendanya...segalanya adalah emas. ((Dia (Qarun) berkata,"Sesungguhnya aku diberi (harta itu) semata-mata kerana ilmu yang ada padaku")) [QS 28:78]. Namun oleh kerana keangkuhannya, Allah Ta'ala telah melaknatinya dengan menenggelamkannya ke dalam perut bumi beserta dengan harta bendanya yang amat banyak sehingga terbentuk sebuah tasik yang saujana mata memandang.