Monday, January 17, 2011

Kesusahan & Harapan (2)

Cerita 'Al-Kimiyaa' yang ingin disampaikan di sini pula adalah kisah beberapa orang adik beradik yang berbual-bual di waktu malam. Kebanyakan perbualan mereka adalah berkisarkan Alkimia. Salah seorang budak yang bernama Ismail berkata, "Aku mendengar,seorang yang pakar mampu menukarkan tanah kepada emas,kemudian menjadikannya kepingan-kepingan syiling dan wang emas."
Seorang lagi yang bernama Mahmud pula membenarkannya dengan berkata, "Betul tu,kerana itu memanglah satu kemahiran yang diketahui manusia. Tapi pakar-pakar dalam bidang ni telah pun berlalu."
Budak-budak itu pun merasa sedih dan sangat kecewa. Mereka berkata, "Kalaulah kita dapat berjumpa dengan seseorang yang mengetahui bidang ini,pasti saja kita akan belajar daripadanya,dan kita akan menjadi kaya tanpa perlu bersusah payah dan merasa penat."
Bapa mereka yang berada berhampiran mendengar perbualan mereka, lalu berkatalah si bapa, "Janganlah kamu semua bersedih wahai anak-anakku, kerana ayah memang mengetahui tentang alkimia. Esok ayah akan mengajarkannya kepada kamu dan menceritakan tentang penghasilan alkimia."
Maka budak-budak itu pun merasa sangat gembira,mereka saling berpandangan. Pada malam itu,mereka merasa berat untuk menunggu hingga ke pagi, dan mereka merasakan malam itu adalah sangat panjang. Tetapi bapa mereka telah berpesan kepada mereka, "Tidak boleh belajar alkimia melainkan waktu siang, kerana ianya satu kemahiran yang rumit."
Akhirnya mereka pun tidur untuk bangun di awal pagi.
Di dalam tidur, Ismail dan Mahmud sentiasa melihat alkimia di dalam mimpi. Hasyim juga melihat bahawa dia berada di dalam sebuah istana yang megah,dan dengan pakaian-pakaian yang hebat. Dia telah membina istananya dan membuat pakaian dengan harta yang terhasil melalui alkimia.
Setelah solat subuh,mereka pun duduk mengelilingi bapa mereka, melihat dia membaca al-Quran. Setelah bapa mereka menyelesaikan bacaannya, dia pun bangun seraya berkata, "Kemarilah wahai anak-anakku."
Lalu mereka pun keluar bersama-sama. Keinginan mereka yang teramat sangat terhadap alkimia menyebabkan mereka tidak ingat untuk bersarapan.
Bapa mereka terus berjalan bersama-sama mereka melalui satu jalan ke satu jalan yang lain sehinggalah mereka tiba di sebuah kebun yang sedang dibajak oleh seorang petani. Pada tangan petani itu terdapat sebatang cangkul. Berkatalah si bapa, "Alkimia itu wahai anak-anakku,berada di bawah mata cangkul itu."
Telah merasa hairanlah budak-budak itu,lalu mereka pun meminta penjelasan daripada bapa mereka. Si bapa pun menjawab, "Bukankah kamu telah mendengar ada orang mengatakan yang alkimia itu boleh mengubah tanah kepada emas? Jadi,bukankah tanah ini akan berubah menjadi emas selepas beberapa hari, bahkan lebih bernilai daripada emas. Apakah nilainya emas apabila tiada apa-apa makanan untuk dimakan manusia. Oleh itu,dengan benih-benih ini yang ditaburkan petani,dan dia bersusah payah untuknya dalam beberapa hari,akan mendatangkan hasil yang besar,dan ALLAH akan mengembalikan kepadanya melalui pekerjaan ini berlipat kali ganda daripada apa yang ia telah belanjakan.
Kemudian bapa mereka telah membawa mereka ke sebuah kilang. Para pekerja di dalamnya benar-benar menumpukan perhatian keatas kerja mereka. Peluh membasahi dahi-dahi mereka. Para pekerja itu sedang membuat barang-barang yang memberi faedah dan juga membuahkan hasil yang banyak kepada mereka. Dan dalam masa yang sama,orang ramai juga akan mendapat kebaikan yang besar daripada barang-barang itu. Kemudian berkatalah si bapa, "Alkimia itu wahai anak-anakku,adalah peluh di dahi,dan usaha yang bersungguh-sungguh."
Kemudian mereka beredar menuju ke tempat orang belajar ilmu pula,dan mereka pun duduk di dalam satu majlis tazkirah. Setelah itu,si bapa berkata, "Wahai anak-anakku, manusia adalah yang paling bernilai di dalam setiap kewujudan. Mendidiknya dan membimbingnya adalah lebih utama daripada menukarkan tanah kepada emas. Apabila kanak-kanak belajar,dan orang ramai mendapat petunjuk, maka bagi para pengajar itu satu amal jariah, mereka akan mendapat pahala bagi setiap apa yang diamalkan oleh orang ramai dari amalan kebaikan dan kebajikan. Kerana itulah Nabi S.A.W. telah bersabda: (Wahai Ali, bilamana Allah Ta'ala memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab kamu, itu adalah lebih baik bagimu daripada unta-unta merah.)
Kanak-kanak itu pun merasa puas dan mereka berterima kasih kepada bapa mereka, kemudian mereka pun pulang. Mereka benar-benar telah mempelajari 'Alkimia'.

No comments:

Post a Comment