Monday, January 17, 2011

Kesusahan & Harapan (3)

Kisah ini telah menjadi pendorong untuk saya berusaha dengan lebih gigih lagi. Sekiranya rezeki saya di dunia ini masih lagi banyak,insyaAllah saya akan tamatkan pengajian di sini. Kemudian akan berkahwin, selepas itu akan tunaikan haji dan umrah di Mekah, menziarahi maqam Nabi S.A.W. di Madinah. Kemudian saya berdoa semoga Allah luaskan rezeki saya sehingga ke luar negara, agar saya dapat berkhidmat kepada saudara-saudara di sana. Saya sangat ingin untuk ke Rusia, hati saya benar-benar tertarik dengan Rusia. Tapi bila melihat keadaan diri saya yang di negara sendiri pun tidak menentu, bagaimana untuk saya tinggal di negara orang. Saya ada banyak dosa, sifat-sifat mazmumah juga masih lagi banyak yang belum diperbetulkan. Mudah-mudahan Allah terima taubat saya, ubah akhlak buruk saya kepada baik, dan terima saya untuk dijadikan sebagai khadim kepada agamaNya yang mulia.
Di zaman sekarang, walaupun tidak ramai, tetapi jika diselidiki dengan betul-betul, kita pasti akan menjumpai juga para ulama' yang benar-benar memiliki sifat-sifat dan keperibadian mirip seperti Baginda Rasulullah S.A.W.. Mereka berjuang bersungguh-sungguh bagi mempertahankan Sunnah Nabi kita yang mulia. Dengan sebab ketinggian ilmu mereka dan kekayaan jiwa mereka, maka barulah Allah Ta'ala memilih mereka untuk menjadi pemimpin bagi ummat. Kata-kata mereka akan sentiasa didengar, nasihat-nasihat mereka akan sentiasa diikuti, perintah-perintah mereka akan sentiasa ditaati. Suatu masa nanti generasi ini akan tamat dan akan bangun pula generasi baru menyambung perjuangan mereka. Mudah-mudahan saya juga akan tergolong di kalangan ulama' yang akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keredhaanNya dan mengecapi nikmat syurgaNya. Amin...

No comments:

Post a Comment