Thursday, January 27, 2011

Tak Banyak Lagi Masa

Hari-hari yang berlalu dalam minggu ini tak banyak berubah berbanding minggu-minggu yang lepas. Aku masih mengharapkan perubahan yang lebih ketara,demi mencapai matlamat aku dalam imtihan kali ini. Tapi aku masih lagi banyak tidur. Banyak berfikir buatkan badan aku terasa amat letih dan ingin tidur. Dan serarang aku tak mempunyai pilihan lain lagi,untuk minggu akan datang,aku akan lebih berusaha!

Wednesday, January 19, 2011

Hari-Hari Yang Biasa...

Tiada apa yang menarik pada hari ini. Saya ke kelas sepertimana biasa.. Saya belajar seperti biasa.. Cuma petang ini di habiskan dengan membaca koleksi 'Midori no Hibi' (Hari-Hari Midori), satu-satunya koleksi komik kepunyaan saya. Komik yang sudah berulang-ulang kali dibaca, tapi tetap akan melaui perasaan yang sama seperti ketika pertama kali membacanya.
Oh! Teringatkan pakaian saya yang dah melebihi sebaldi,tapi belum dibasuh. Beredar~

Monday, January 17, 2011

Kesusahan & Harapan (3)

Kisah ini telah menjadi pendorong untuk saya berusaha dengan lebih gigih lagi. Sekiranya rezeki saya di dunia ini masih lagi banyak,insyaAllah saya akan tamatkan pengajian di sini. Kemudian akan berkahwin, selepas itu akan tunaikan haji dan umrah di Mekah, menziarahi maqam Nabi S.A.W. di Madinah. Kemudian saya berdoa semoga Allah luaskan rezeki saya sehingga ke luar negara, agar saya dapat berkhidmat kepada saudara-saudara di sana. Saya sangat ingin untuk ke Rusia, hati saya benar-benar tertarik dengan Rusia. Tapi bila melihat keadaan diri saya yang di negara sendiri pun tidak menentu, bagaimana untuk saya tinggal di negara orang. Saya ada banyak dosa, sifat-sifat mazmumah juga masih lagi banyak yang belum diperbetulkan. Mudah-mudahan Allah terima taubat saya, ubah akhlak buruk saya kepada baik, dan terima saya untuk dijadikan sebagai khadim kepada agamaNya yang mulia.
Di zaman sekarang, walaupun tidak ramai, tetapi jika diselidiki dengan betul-betul, kita pasti akan menjumpai juga para ulama' yang benar-benar memiliki sifat-sifat dan keperibadian mirip seperti Baginda Rasulullah S.A.W.. Mereka berjuang bersungguh-sungguh bagi mempertahankan Sunnah Nabi kita yang mulia. Dengan sebab ketinggian ilmu mereka dan kekayaan jiwa mereka, maka barulah Allah Ta'ala memilih mereka untuk menjadi pemimpin bagi ummat. Kata-kata mereka akan sentiasa didengar, nasihat-nasihat mereka akan sentiasa diikuti, perintah-perintah mereka akan sentiasa ditaati. Suatu masa nanti generasi ini akan tamat dan akan bangun pula generasi baru menyambung perjuangan mereka. Mudah-mudahan saya juga akan tergolong di kalangan ulama' yang akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keredhaanNya dan mengecapi nikmat syurgaNya. Amin...

Kesusahan & Harapan (2)

Cerita 'Al-Kimiyaa' yang ingin disampaikan di sini pula adalah kisah beberapa orang adik beradik yang berbual-bual di waktu malam. Kebanyakan perbualan mereka adalah berkisarkan Alkimia. Salah seorang budak yang bernama Ismail berkata, "Aku mendengar,seorang yang pakar mampu menukarkan tanah kepada emas,kemudian menjadikannya kepingan-kepingan syiling dan wang emas."
Seorang lagi yang bernama Mahmud pula membenarkannya dengan berkata, "Betul tu,kerana itu memanglah satu kemahiran yang diketahui manusia. Tapi pakar-pakar dalam bidang ni telah pun berlalu."
Budak-budak itu pun merasa sedih dan sangat kecewa. Mereka berkata, "Kalaulah kita dapat berjumpa dengan seseorang yang mengetahui bidang ini,pasti saja kita akan belajar daripadanya,dan kita akan menjadi kaya tanpa perlu bersusah payah dan merasa penat."
Bapa mereka yang berada berhampiran mendengar perbualan mereka, lalu berkatalah si bapa, "Janganlah kamu semua bersedih wahai anak-anakku, kerana ayah memang mengetahui tentang alkimia. Esok ayah akan mengajarkannya kepada kamu dan menceritakan tentang penghasilan alkimia."
Maka budak-budak itu pun merasa sangat gembira,mereka saling berpandangan. Pada malam itu,mereka merasa berat untuk menunggu hingga ke pagi, dan mereka merasakan malam itu adalah sangat panjang. Tetapi bapa mereka telah berpesan kepada mereka, "Tidak boleh belajar alkimia melainkan waktu siang, kerana ianya satu kemahiran yang rumit."
Akhirnya mereka pun tidur untuk bangun di awal pagi.
Di dalam tidur, Ismail dan Mahmud sentiasa melihat alkimia di dalam mimpi. Hasyim juga melihat bahawa dia berada di dalam sebuah istana yang megah,dan dengan pakaian-pakaian yang hebat. Dia telah membina istananya dan membuat pakaian dengan harta yang terhasil melalui alkimia.
Setelah solat subuh,mereka pun duduk mengelilingi bapa mereka, melihat dia membaca al-Quran. Setelah bapa mereka menyelesaikan bacaannya, dia pun bangun seraya berkata, "Kemarilah wahai anak-anakku."
Lalu mereka pun keluar bersama-sama. Keinginan mereka yang teramat sangat terhadap alkimia menyebabkan mereka tidak ingat untuk bersarapan.
Bapa mereka terus berjalan bersama-sama mereka melalui satu jalan ke satu jalan yang lain sehinggalah mereka tiba di sebuah kebun yang sedang dibajak oleh seorang petani. Pada tangan petani itu terdapat sebatang cangkul. Berkatalah si bapa, "Alkimia itu wahai anak-anakku,berada di bawah mata cangkul itu."
Telah merasa hairanlah budak-budak itu,lalu mereka pun meminta penjelasan daripada bapa mereka. Si bapa pun menjawab, "Bukankah kamu telah mendengar ada orang mengatakan yang alkimia itu boleh mengubah tanah kepada emas? Jadi,bukankah tanah ini akan berubah menjadi emas selepas beberapa hari, bahkan lebih bernilai daripada emas. Apakah nilainya emas apabila tiada apa-apa makanan untuk dimakan manusia. Oleh itu,dengan benih-benih ini yang ditaburkan petani,dan dia bersusah payah untuknya dalam beberapa hari,akan mendatangkan hasil yang besar,dan ALLAH akan mengembalikan kepadanya melalui pekerjaan ini berlipat kali ganda daripada apa yang ia telah belanjakan.
Kemudian bapa mereka telah membawa mereka ke sebuah kilang. Para pekerja di dalamnya benar-benar menumpukan perhatian keatas kerja mereka. Peluh membasahi dahi-dahi mereka. Para pekerja itu sedang membuat barang-barang yang memberi faedah dan juga membuahkan hasil yang banyak kepada mereka. Dan dalam masa yang sama,orang ramai juga akan mendapat kebaikan yang besar daripada barang-barang itu. Kemudian berkatalah si bapa, "Alkimia itu wahai anak-anakku,adalah peluh di dahi,dan usaha yang bersungguh-sungguh."
Kemudian mereka beredar menuju ke tempat orang belajar ilmu pula,dan mereka pun duduk di dalam satu majlis tazkirah. Setelah itu,si bapa berkata, "Wahai anak-anakku, manusia adalah yang paling bernilai di dalam setiap kewujudan. Mendidiknya dan membimbingnya adalah lebih utama daripada menukarkan tanah kepada emas. Apabila kanak-kanak belajar,dan orang ramai mendapat petunjuk, maka bagi para pengajar itu satu amal jariah, mereka akan mendapat pahala bagi setiap apa yang diamalkan oleh orang ramai dari amalan kebaikan dan kebajikan. Kerana itulah Nabi S.A.W. telah bersabda: (Wahai Ali, bilamana Allah Ta'ala memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab kamu, itu adalah lebih baik bagimu daripada unta-unta merah.)
Kanak-kanak itu pun merasa puas dan mereka berterima kasih kepada bapa mereka, kemudian mereka pun pulang. Mereka benar-benar telah mempelajari 'Alkimia'.

Kesusahan & Harapan (1)

Tinggal lagi 2 tahun setengah untuk tamat belajar di sini. Harapan saya ialah semoga dapat tamatkan pengajian ini dengan sempurna. Kalau difikirkan, memang agak susah utk itu, tapi saya tetap akan berusaha dengan bersungguh-sungguh. Saya ada harapan, ibu bapa saya juga ada harapan yang tinggi untuk melihat saya berjaya. Begitu juga dengan orang lain yang saya rapat dengan mereka, semuanya terlalu mengharapkan kejayaan saya.
Saya agak susah kebelakangan ini. Banyak masa saya telah dihabiskan dengan sia-sia. Saya tak berapa suka dan memang tak suka pun, tapi itulah yang telah saya buat. Sangat sedih apabila melihat keputusan peperiksaan tahun lepas, lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya, tapi sehingga sekarang saya masih belum berbuat sesuatu. Saya masih lagi malas untuk membaca, menulis dan mengulang kembali pelajaran.
"Siapa yang bercita-cita mencapai ketinggian tanpa berusaha, pasti ia telah sia-siakan kehidupannya dalam mencari perkara mustahil"
Apabila melihat keadaan ini, saya dapat mengagak yang saya tak akan berjaya jika masih lagi berterusan malas seperti ini, malahan,saya akan gagal buat selama-lamanya. Kerana jika ingin dibandingkan dengan mereka yang benar-benar berusaha untuk ilmu, diri saya sangatlah teruk. Syeikhul-hadis,Hadzrat Maulana Zakariyya (semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh beliau) dikatakan semasa hayatnya,beliau telah berhenti makan malam, dan telah sekian lama beliau hanya makan tengahari sahaja. Beliau pernah bercerita bahawa ada seorang kakaknya yang sangat penyayang,apabila beliau menelaah kitab-kitab di waktu malam,kakaknya itu akan menyuapkan makanan ke mulutnya,dengan itu pembacaannya tidak akan terjejas. Namun setelah kakaknya itu meninggal dunia,tidak ada lagi orang yang akan melayani beliau sebegitu manja,dan beliau tidak suka pula pembacaannya terjejas. Kerana itu,beliau pun meninggal makan malam.
"و جاهدوا في الله حق جهاده"
Untuk tahun ini,bacaan al-Quran saya belum lagi khatam. Rasa berasalah sangat. Kalau saya benar-benar ingat al-Quran yang saya hafal,mudah untuk saya baca 3juz' setiap hari yang cuma mengambil masa 1jam. Walau bagaimana pun,saya tetap berusaha untuk lancarkan al-Quran saya sehingga mampu khatamkan 30juz' al-Quran didalam solat. Begitu juga dengan bahasa arab,walaupun dah belajar,tapi masih belum pandai bercakap arab. Oleh itu,saya juga berazam agar dapat menguasai bahasa tersebut dalam masa terdekat. إن شاء الله...
"Produk yang dihasilkan di sesebuah kilang perlu melalui beberapa peringkat pemprosesan. Jika ia tertinggal salah satu proses,maka produk itu mungkin tidak dapat digunakan,bahkan akan dihapuskan. Begitulah juga halnya pelajar yang datang belajar di madrasah. Jika dia tak lalui proses pembelajaran dengan disiplin yang betul,dia akan keluar dari madrasah dalam keadaan rosak dan tak akan dapat dibaiki lagi. Pelajar agama,walaupun zahirnya dia dihantar untuk belajar di madrasah oleh ibu bapa,namun hakikatnya pelajar agama adalah amanah daripada ummat. Rosaknya seorang pelajar agama adalah merupakan satu kerugian yang amat besar bagi ummat." Inilah sebahagian daripada apa yang pernah disampaikan oleh ustaz saya untuk saya kongsikan disini. Dan nasihat ini amat berkait rapat dengan apa yang akan saya ceritakan nanti. Di madrasah ini terdapat beberapa pelajar yg meminati komik. Suatu masa dulu,saya juga salah seorang dari mereka. Pada masa itu,saya meminati komik 'Fullmetal Alchemist'. Kartunnya yang comel,ceritanya yang best...saya betul-betul suka. Mengisahkan tentang segolongan manusia yang mengkaji ilmu alkimia untuk kegunaan manusia,ataupun lebih tepat lagi,untuk peperangan. Mereka berkebolehan untuk menghasilkan sesuatu mengikut kemahiran masing-masing. Ada yang mampu hasilkan api, ada pula yang dapat hasilkan besi dan sebagainya.Bahkan ada juga yang gunakan ilmu itu bagi tujuan perubatan. Melihatkan mereka yang sangat hebat, saya juga berharap supaya dapat mengkaji alkimia, lalu membuat transmutasi untuk menghasilkan benda-benda. Saya selalu berangan-angan dengan meniru gaya watak komik...sehinggalah pada suatu hari,ustaz membacakan kepada kami sebuah kisah yang bertajuk 'Al-Kimiyaa',sebuah kisah berbahasa arab yang dikarang oleh seorang ulama terkenal,Ash-Syeikh Abul-Hasan 'Ali An-Nadwi. Ustaz kami menjelaskan,ilmu alkimia ialah antara ilmu yang telah pupus sepertimana ilmu falak. Pada ketika dahulu, Hercules yang digambarkan sebagai pahlawan Greece itu benar-benar menguasai ilmu falak. Hanya dengan milihat bintang di langit,dia dapat mengetahui tentang kelahiran Nabi S.A.W.. Qarun pula memiliki ilmu alkimia yang membolehkannya mengubah benda-benda kepada emas, sehinggakan istana, perhiasan, perabot dan segala harta bendanya...segalanya adalah emas. ((Dia (Qarun) berkata,"Sesungguhnya aku diberi (harta itu) semata-mata kerana ilmu yang ada padaku")) [QS 28:78]. Namun oleh kerana keangkuhannya, Allah Ta'ala telah melaknatinya dengan menenggelamkannya ke dalam perut bumi beserta dengan harta bendanya yang amat banyak sehingga terbentuk sebuah tasik yang saujana mata memandang.